Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
DPMM FC menang bergaya ke atas Guangxi Pingguo Haliao FC
20/04/2024

dpmm_200424.jpg

DPMM FC menang bergaya ke atas Guangxi Pingguo Haliao FC dengan keputusan 3 - 1 pada perlawanan persahabatan yang berlangsung malam tadi di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, di sini.

Jaringan gol daripada DPMM FC masing-masing dibuat oleh Gabriel Gama, Azwan Ali Rahman dan Miguel Oliveira.

Berangkat menyaksikan perlawanan berkenaan ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah binti Pengiran Haji Salleh Ab. Rahaman.

Juga berangkat, paduka-paduka adinda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen.

Berangkat sama ialah anakanda-anakanda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah iaitu Yang Teramat Mulia Pengiran Muda 'Abdul Muntaqim; Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah; Yang Teramat Mulia Pengiran Muda Muhammad Aiman; dan Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Faathimah Az-Zahraa' Raihaanul Bolkiah.

Dalam separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan, namun DPMM FC lebih bijak mengatur serangan dan akhirnya berjaya menjaringkan gol pertama menerusi Gabriel Gama seawal minit ke-5.

Sementara dalam babak kedua perlawanan pula menyaksikan DPMM FC dengan selesa mengawal permainan dan berjaya menggandakan jaringan gol menerusi Azwan Ali Rahman pada minit ke-46.

Manakala, pemain sayap yang berasal dari Portugal, Miguel Oliveira seterusnya berjaya menjaringkan gol ketiga pada minit ke-63 bagi DPMM FC.

Guangxi Pingguo Haliao FC tidak berputus asa dan akhirnya berjaya menjaringkan gol tunggal mereka pada perlawanan berkenaan menerusi Wang Jingbin pada minit ke-81.​

Keputusan perlawanan kekal 3 - 1 sehingga ke wisel penamat.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto​